Selamat Datang ke Laman Blog Sekolah Pusat Sekolah Kebangsaan Bum-Bum. Semoga anda akan mendapat maklumat-maklumat terkini mengenai aktiviti kami.

Sejarah Sekolah

Sejarah awalnya sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pulau Bum-Bum yang bangunannnya sama seperti sekolah-sekolah terpencil yang terdiri daripada binaan kayu dan separuh konkrit. Namun pada hari ini sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah rendah yang dibina di pulau dan dilengkapkan pelbagai kemudahan termasuk asrama setanding dengan sekolah-sekolah di bandar-bandar besar dengan kos binaan melebihi RM 40 juta. 

Pencapaian 0% juga menjadi punca utama yang ketara membawa pengujudan Sekolah Berpusat Bum-Bum. Sebahagian kecil sekolah terpencil mencapai 0% dalam UPSR. Gambarannya jelas sekolah-sekolah terpencil di kepulauan daerah Semporna masih tidak menguasai 3M. Ada alasan punca pencapaian rendah ini kerana keadaan fizikal sekolah-sekolah terpencil yang serba daif tanpa kemudahan yang sepatutnya. Mulanya idea penubuhan sekolah berpusat diilhamkan oleh Encik Binit b. Taib, Pegawai Pendidikan Daerah Semporna ketika itu dan dipersetujui oleh Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr. Hasbullah Hj. Taha. Hasrat penubuhan sekolah jenis berpusat ini dikuatkan lagi dengan isu kekurangan guru di sekolah-sekolah terpencil dimana ramai guru yang enggan berkhidmat di sekolah-sekolah terpencil kerana perhubungan jauh dan masalah ketidak selesaan di sekolah-sekolah berkenaan. Penyediaan dana untuk melengkapkan sekolah-sekolah pulau terpencil terlalu banyak diperlukan berbanding membina sebuah sekolah yang lengkap dengan peralatan moden sesuai dengan keperluan semasa. 

Pada penghujung 2003, sekolah ini telah siap dibina sepenuhnya dan 5 Januari 2004, sekolah ini telah dioperasikan setelah kedatangan Tuan Haji Mohd Shah Haji Hassan (DGA 4) dan beliau merupakan guru besar yang pertama bagi SK Berpusat Bum-Bum ini. Beliau juga merupakan mantan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Semporna pada masa itu. Pada 25 Januari 2005, seramai 187 orang murid dari sekolah yang dipusatkan telah mendaftar dan merupakan penghuni asrama yang sulung. 

Konsep sekolah ini adalah menempatkan murid-murid dari beberapa buah sekolah terpencil untuk meneruskan persekolahan dalam tahap II, kerana sekolah asal hanya menempatkan murid-murid yang belajar dalam tahap l. Sekolah ini berkonsepkan pemusatan murid dari beberapa buah sekolah yang terletak di beberapa pulau yang berhampiran dengan Pulau Bum-Bum. Murid- murid yang dipusatkan terdiri dari mereka yang berada ditahap dua iaitu tahun 4, 5 dan 6. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SK. Pulau Larapan, SK. Pulau Denawan, SK. Pulau Omadal, SK. Pulau Selakan dan SK. Pulau Menampilik serta dipenghujung tahun 2009 penerimaan masuk murid dari sekolah swasta (HUMANA) Kampung Tandoan kerana sekolah swasta berkenaan tidak lagi beroperasi. 

Sekolah ini mula beroperasi pada 25 JANUARI 2004 dengan nama Sekolah Berpusat SK. Bum-Bum.Pada 17 FEBRUARI 2007 nama sekolah ini bertukar sekali lagi kepada Sekolah Pusat Sekolah Kebangsaan Bum-Bum dan dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serentak dengan perasmian Lonjakan Perdana dan Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 di Sekolah Pusat Sekolah Kebangsaan Bum-Bum, Semporna.
Comments
0 Comments

0 komen: