Guru Penyayang merupakan salah satu program yang dirancang khas di setiap sekolah untuk menimbulkan budaya kasih sayang dalam kalangan warga sekolah. Menyedari hakikat bahawa ilmu yang ditimba akan lebih mudah diperolehi sekiranya wujud budaya kasih sayang dalam kalangan warga sekolah terutamanya di dalam aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Maka, Program Guru Penyayang telah diperkenalkan dan wajib dilaksanakan di setiap sekolah.
Pelaksanaan ‘Guru Penyayang’ adalah bertujuan agar guru mengamal dan membudayakan sikap kasih sayang di sekolah. Penyayang membawa maksud perbuatan atau perlakuan menyayangi, mengasihi dan bersifat belas kasihan serta menghormati orang lain. Ini bermakna ‘Guru Penyayang’ adalah seorang yang memiliki sifat kepedulian terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan murid dengan cara mengamalkan nilai kasih sayang, mesra, mengambil berat, berbudi bahasa, saling menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar.
Guru penyayang menjiwai bahawa murid mereka merupakan aset penting yang perlu diberi perhatian, dijaga, dibimbing, dihargai kewujudannya dan disayangi setiap masa. Membudayakan amalan penyayang merupakan sifat profesional guru dalam perhubungannya dengan murid, ibubapa, komuniti dan masyarakat.